Thursday, April 16, 2009

Kedatangan tentera bergajah Abrahah

      Peristiwa ini berlaku bulan Muharram 50 atau 55 hari sebelum kelahiran Rasulullah(s.a.w), bersamaan dengan penghujung bulan Februari atau awal bulan Mac tahun 571 Masihi. Peristiwa ini merupakan pendahuluan yang telah disusun oleh Allah(s.w.t) untuk Nabi dan Rumah-Nya, kerana apabila kita susuli kisah Baitul Maqdis, kita mendapati kaum Musyrikin telah menguasai Kabilah ini sedangkan penduduknya kaum Muslim sebagaimana yang terjadi kepada Bakhtanassar pada tahun 70 Masihi. Cuma bezanya, Kaabah tidak dikuasai oleh kaum Muslimin seperti yang dianggap oleh golongana Nasrani Yaman sedangkan penduduk Mekah pada ketika itu adalah kaum Musyrikin. 
Abrahah al-Sabbah al-Habasyi,wakil penguasaan Yaman bagi pihak al-Najjashi Raja al-Habsyah telah membuat keputusan untuk meruntuhkan Kaabah kerana hasad dengki terhadap Kaabah yang menjadi tumpuan seluruh bangsa Arab untuk menunaikan ibadah. Oleh itu, beliau membina sebuah gereja besar di Sana'a dengan harapan dapat mengalih tumpuan masyarakat Arab ke sana.  
Hal ini telah diketahui oleh salah seorang Arab dari keturunan Kinanah lalu pada suatu malam beliau memasuki gereja yang besar itu dan bersembahyang dengan najis-najis. Seperti mencurahkan minyak ke api yang sedang marak, kemarahan Abrahah semakin membuak-buak lalu beliau menghantar bala tenteranya sebanyak 60,000 orang askar menuju ke Kaabah untuk membunuhnya.
Keseluruhan angkatan bergajah adalah sebanyak 9-13 ekor gajah. Apabila tiba di Mughammas, Abrahah menyusun pergerakan tenteranya. Setibanya di Wadi Muhsar yang terletak di Muzdalifah dan Muna, gajah-gajah itu pun berhenti. Apabila dihalakan gajah-gajah itu ke arah timur dan selatan ia bergerak. namun, dengan kuasa Allah, apabila gajah-gajah itu dihalakan ke arah Kaabah,ia tidak berganjak malah terus duduk. Dalam keadaan ini Allah telah mengutuskan sekumpulan burung Ababil lalu melontarkan batu-batu daripada neraka dan tentera Abrahah menjadi seperti pepohon yang dimakan ulat. Burung-burung ini dikenali sebagai Al-Khatatif dan Al-Balsan. Setiap ekor burung membawa 3 ketul batu, seketul di paruh manakala 2 ketul lagi dibawa dengan jejari kaki. Apabila batu-batu itu mengenai manusia, hancur binasalah mereka; tetapi tidak semuanya yang terkena kerana ada di antara mereka yang bertempiaran lari meninggalkan tempat kejadian.  Di sepanjang perjalanan, terdapat mayat bergelimpangan sementara Abrahah telah terkena sejenis penyakit yang menyebabkan jari jemarinya tertanggal dan luruh satu persatu. Sesampainya di Sana'a, beliau menjadi seperti seekor anak ayam; dadanya terbelah dua, hati dan perut terburai keluar dan akhirnya tamatlah riwayat Abrahah.   
Kisah ini telah dirakamkan dari surah Al-Fil(surah ke-105) yang menjadi bukti pertolongan Allah dan Allah jualah pelindung terbaik rumah-Nya.

p/s: Post ini ana olah dari terjemahan Raheeq Makhtum;sirah Rasulullah, karangan Shaikh Sofiy Al-Rahman  al-Mubarakfuri. Semoga dapat menambah ilmu sirah Rasulullah(s.a.w)

No comments:

Post a Comment